Sunday 14 April 2013

Pelik tapi benar...renung2kanlah.....


MASALAH :

Kekasih Ucap Sayang Tapi Kahwin Wanita Lain
Cinta sememangnya mengasyikkan malah segalanya indah. Tidak hairanlah ramai cuba meraih rasa cinta ini dengan pelbagai cara termasuk dengan cara yang salah. Minggu ini, kita berkongsi luahan hati seorang pembaca yang sudi kisahnya dikongsi di ruangan ini.
Dalam menyulam cinta, pasangannya memilih berkahwin lain dan bila kebenaran ini diketahui, pasangannya tetap tidak sanggup melepaskan dirinya kerana begitu sayang. Semoga kisahnya menjadi iktibar kepada pembaca lain.
Saya sebenarnya keliru dan tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Saya ingin berkongsi masalah agar saya ketemu jalan penyelesaiannya. Saya berusia di pertengahan 20-an. Pernah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua orang anak. Tetapi kebahagiaan itu cuma sementara kerana bekas suami seorang penagih dan pengedar dadah.
Oleh kerana saya tidak lagi mampu bertahan dengan perangai bekas suami yang sering memukul, saya mengambil keputusan untuk berpisah. Saya ada berkenalan dengan seorang lelaki yang merupakan seorang pemandu lori yang sering singgah di tempat saya bekerja. Namanya Z. Saya tertarik dengan sikapnya. Dia seorang yang pemalu dan kelihatannya, dia tidak seperti lelaki lain. Z memang pendiam jika dibandingkan dengan kawan-kawannya. Tergerak di hati saya ingin mengenalinya dengan lebih lanjut kerana perwatakannya jauh berbeza dengan bekas suami yang terlalu liar.
Ternyata saya berjaya mendekatinya. Saya selalu berhubung dengannya melalui telefon. Hari ke hari hubungan kami mula rapat dan saya jatuh cinta padanya dengan kelembutan sifatnya. Tetapi kami bercinta hanya sekadar di telefon dan berjumpa di tempat kerja saja kerana takut akan terserempak dengan bekas suami.
Seperti pasangan bercinta yang lain, Z juga selalu mengajak saya keluar bersama dengannya tetapi saya menolak dengan pelbagai alasan kerana tidak mahu Z menjadi mangsa kepada bekas suami. Ternyata Zmemang penyabar.
Hampir setahun dia menunggu saya dengan penuh kesabaran. Kemudian timbul rasa kasihan, saya mula mengatur langkah dan selalu keluar bersama dengannya. Hubungan kami makin bertambah erat hinggalah kami terlanjur.
Sepanjang kami bersama, pernah dua kali saya dipukul oleh bekas suami yang tidak dapat menerima perpisahan kami. Pelbagai cara saya lakukan agar hubungan saya dengan Z kekal dan dapat selalu bersama dengannya tanpa pengetahuan bekas suami. Sedar tak sedar hubungan saya dan Z sudah masuk tahun ketiga. Sedihnya apabila beberapa bulan lepas, Z telah bernikah tanpa pengetahuan saya dan pastinya bukan dengan saya.
Saya berasa hairan entah sejak bila Z mengenali wanita itu sedangkan setiap hari-harinya, dia bersama saya dan apabila waktu bekerja setiap jam dia akan menghubungi saya dan akan berbalas SMS. Saya tidak pernah nampak Z menguruskan hal perkahwinannya kerana dia sentiasa dengan saya.
Saya kenal siapa keluarganya, di mana rumahnya dan siapa kawan-kawannya. Setiap hari dia akan bawa saya bersiar-siar di kawasan rumahnya dan di mana sahaja yang ingin kami tuju tanpa batas. Dia terlalu mengambil berat tentang saya dan anak.
Setelah saya siasat, sebenarnya wanita itu tinggal berdekatan dengan rumah Z sahaja. Apa yang saya tidak pasti motif Z berkahwin sedangkan di hari perkahwinannya, Z menghubungi saya seperti biasa dan sehingga kini dia masih bersama dengan saya.
Z berjanji akan berkahwin dengan saya dalam masa terdekat dan walaupun baru sahaja bernikah. Masanya juga banyak untuk saya. Kata Z dia tak mahu melepaskan saya kerana dia terlalu sayangkan saya. Dia sanggup luangkan masanya dengan saya walaupun sudah beristeri. Apa perlu saya lakukan? Patutkah saya terima Z? Adakah saya yang akan menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya? Ataupun memang saya di tempat yang benar dan wanita itu sebenarnya perampas kebahagiaan saya?
Saya terlalu sayangkan Z dan saya yakin memang sukar untuk mencari lelaki sepertinya yang sentiasa menjaga saya. Perlukah saya bermadu? Memang ada perasaan tidak berpuas hati dengan apa yang Z lakukan pada saya tapi dari kelakuan Z yang masih pentingkan saya, saya rasa terharu sangat dan redha dengan apa yang terjadi. Tolonglah saya.
________

JAWAPAN :

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi..
Puan yang dirahmati Allah…
Ingin dikasihi dan mengasihi, dicintai dan mencintai adalah lumrah kepada manusia. Apabila ada perasaan sebegini, lazimnya berlaku perhubungan antara dua insan berbeza jantina.
Pada mulanya hubungan biasa. Namun, kerap kali juga hubungan biasa menjadi luar biasa. Mungkin manusia tidak mengundang berlakunya yang luar biasa itu, malah tidak terlintas di hatinya untuk berbuat sesuatu yang dibenci Allah seperti berzina. Namun, justeru berlakunya pergaulan terlarang, maka zina yang tidak pernah terbayang boleh berlaku dalam sekelip mata.
Iman boleh goncang jika nafsu tidak dikawal. Ada manusia yang benar-benar menyesal dengan dosa besar yang telah dilakukan dan bertaubat nasuha dengan tidak lagi melakukan perbuatan tersebut dan mula mendekatkan diri dengan Allah. Ada manusia yang tidak rasa berdosa dan tidak terasa untuk bertaubat dengan apa yang berlaku tetapi tidak meneruskan perbuatan yang dibenci Allah. Kumpulan ketiga adalah manusia yang tidak pernah menyesal, dan mengulangi perbuatan dibenci Allah, malah tanpa rasa segan silu boleh menceritakannya kepada orang lain.
Puan yang dirahmati Allah….
Manusia lazim mahu mendapatkan apa yang dia inginkan. Untuk memenuhi keinginannya, dia sering berkata pada dirinya bahawa orang yang dicintainya itu adalah baik dan memenuhi apa yang dihajatinya.
Manusia juga membuat persepsi bahawa lelaki yang pendiam, lembut adalah baik dan amat sesuai dijadikan suami. Kerana apa? Kerana hatinya hanya nampak lelaki itu sahaja yang dapat menjadi teman hidupnya. Tanpa berfikir apa yang telah berlaku, dia masih mengatakan bahawa lelaki itu seharusnya menjadi miliknya berdasarkan masa dan tenaga yang lelaki itu telah beri tumpuan kepadanya.
Perlakuan lelaki itu sudah meyakinkannya bahawa lelaki itu menyayanginya, dan tidak orang lain. Itu sifat dan persepsi manusia. Hakikatnya, kalaulah puan boleh melihat dengan lebih terbuka, logiknya jika dia benar-benar cintakan puan dan tidak boleh hidup tanpa puan, maka kenapa dia boleh berkahwin dengan orang lain?
Dalam konteks ini cuba puan tanya pada diri, adakah dia jujur terhadap puan? Kalau dia jujur, tidakkah boleh dia memberitahu bahawa dia harus berkahwin dengan orang lain atas permintaan keluarga atau apa saja alasannya.
Dalam tafsiran puan, itukah kriteria yang boleh dikatakan baik dan amat sesuai menjadi suami puan? Cuba jawab berdasarkan logik fikiran, bukan dorongan hati yang mengatakan dia menyayangi puan hanya kerana tindak tanduknya yang selalu bersama puan. Kalau dikatakan bekas suami puan bertindak memukulnya, kenapa tidak dilaporkan kepada pihak polis. Kita ada undang-undang yang boleh melindungi daripada serangan pihak lain?
Kita tidak tahu apa yang sebenarnya tersirat dalam hati seorang lelaki, melainkan dia dan tuhan sahaja yang tahu. Apakah wajar kita mengetahui isi hati seseorang? Hakikatnya kita berhadapan dengan realiti hidup dan bukan sepatutnya begini sepatutnya begitu.
Puan yang dirahmati Allah…
Islam menyediakan cara dan jalan yang halal yang boleh manusia ikuti. Pilihan terletak di tangan manusia. Manusia boleh memilih jalan halal dan diredhai Allah. Namun manusia kadang-kadang seperti takut dan bimbang untuk melalui jalan dan cara yang telah Islam sediakan. Manusia bimbang bagaimanakah nantinya hidup bermadu? Apa akan jadi pada nasib dirinya dan anak-anak?
Bolehkah suami berlaku adil? Dan pelbagai soalan lagi yang manusia suka bertanya. Apa yang dibimbangkan oleh manusia adalah perkara-perkara yang berada dalam lingkungan jalan dan sempadan yang halal.
Walhal manusia jarang berfikir perkara-perkara dalam lingkungan dan sempadan yang haram. ‘ Apakah tindakan aku ini tidak menimbulkan kemurkaan Allah?’‘Wajarkah aku hidup menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki tanpa ikatan yang sah. Perhubungan aku ini adakah diredahi Allah? Yang pastinya tidak mengikut jalan-jalan agama dan batas-batas ketimuran ? Adakah aku wajar berkelakuan sedemikian rupa yang dilihat oleh anak-anak dan ini boleh jadi contoh tauladan yang tidak baik kepada perkembangan diri mereka?’
Tidak dinafi kan ramai juga manusia yang kita lihat berkecenderungan untuk memilih jalan yang tidak diredhai Allah. Manusia lebih rela hidup dalam lingkungan dosa dan noda, padahal jalan yang halal yang diredhai Allah terbentang luas.
Dalam hal ini, jika hati puan masih mencintai lelaki tersebut dan puan yakin dia juga mahu menjadikan puan sebagai isterinya, maka puan perlu memberitahunya bahawa perhubungan puan dengannya perlu diikat secara sah dan bukannya perhubungan terlarang.
Jika benar dia mahu menjadikan puan sebagai isteri keduanya, maka dia harus bertindak untuk berkahwin dengan puan. Jika dia berusaha ke arah itu, maka benar dia seorang yang bertanggungjawab.
Sekadar sering berjumpa puan dan mengambil berat terhadap puan belum tentu dapat kita katakan dia seorang lelaki yang ada tanggungjawab dan ada prinsip. Jika dia enggan dan berdalih, maka pastinya dia hanya mahukan sesuatu yang dapat dinikmatinya, bukan dimiliki secara sah. Kerana memiliki secara sah melibatkan amanah dan tanggung jawab yang perlu dipikul.
Manusia sukar menerima amanah dan tanggungjawab kerana merasa itu beban yang perlu dipikul. Ramai juga manusia yang hanya mahu bersuka-suka sahaja dalam kehidupan seharian. Maka, puan telitilah perkara ini.
Wallahualam..
***************************

Sumber : Majalah Wanita (karangkraf)

No comments:

Post a Comment